MOHD. HAFEEZ MOHD. NIZAM
UKM, Bangi
Disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 28/7/2008
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
DENGAN dunia yang kini menghadapi situasi yang kian menjurus kepada inflasi, isu pembangunan dan kemiskinan, mata pelajaran ekonomi dilihat semakin penting dalam membentuk pelajar yang tahu menilai perkembangan semasa ekonomi berasaskan pendekatan teori dan praktikal.
Pensijilan Terbuka yang diamalkan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membolehkan pelajar mengambil mata pelajaran yang diingini mengikut kehendak dan kemampuan mereka namun ia tidak menjadi satu motivasi bagi pelajar mengambil subjek Ekonomi sebagai subjek elektif.
Apabila mata pelajaran Ekonomi menjadi mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan negara, ia akan dapat melahirkan pelajar yang tahu menilai situasi ekonomi yang berlaku dan mewujudkan daya berfikir yang kritis selari dengan tuntutan masa ini yang mementingkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Langkah ini jika direalisasikan kelak akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar jurusan sastera bahkan pelajar jurusan sains.
Mata pelajaran Ekonomi dilihat relevan menjadi mata pelajaran teras berasaskan beberapa faktor.
Pertamanya, dasar negara yang menggalakkan budaya keusahawanan akan disokong dengan wujudnya mata pelajaran Ekonomi di peringkat sekolah dan ini akan membuka peluang kepada semua pelajar menceburi bidang keusahawanan.
Kedua, mata pelajaran Ekonomi kelak akan melahirkan pelajar yang tahu menilai sesuatu asas polisi ekonomi daripada kaca mata teori dan praktikal, bukannya berdasarkan pendekatan tanggapan semata-mata.
Hal ini akan melahirkan pelajar yang mampu berhujah daripada aspek ekonomi dalam menyelesaikan isu seperti inflasi dan kemiskinan.
Ketiga, ekonomi merupakan cabang sains sosial yang penting dalam kehidupan.
Kehidupan seharian berkait rapat dengan ekonomi dan mata pelajaran Ekonomi wajar dijadikan mata pelajaran teras bagi memastikan pelajar tahu situasi yang dihadapi negara dalam menggubal sesuatu dasar berkaitan ekonomi.
Keempat, senario ekonomi negara dan dunia yang berhadapan dengan fenomena ekonomi yang mencabar menuntut kepada kejituan pelajar yang tahu menilai dan menjadi ejen menyebarkan maklumat situasi yang benar kepada masyarakat berasaskan pendekatan teori ekonomi.
Kelima, ia akan menjadikan pelajar lebih kompetitif dengan memiliki tambahan ilmu sains sosial yang berguna untuk kehidupan mereka kelak.
Dalam melaksanakan polisi ini, rombakan semula mata pelajaran ekonomi perlu dilakukan bagi membezakan mata pelajaran ekonomi teras dan ekonomi asas yang menjadi elektif selama ini.
Mata pelajaran Ekonomi teras yang dicadangkan kepada semua pelajar perlu lebih menekankan aspek ekonomi semasa dan analisis yang bercorak aplikasi bagi memudahkan penerimaan pelajar yang bukan daripada aliran sastera.
Mata pelajaran Ekonomi dilihat menjadi satu keperluan kepada para pelajar dalam menghadapi dunia yang berasaskan pengetahuan dan kemahiran. Usaha ini dilihat akan mewujudkan masyarakat yang lebih peka terhadap perubahan iklim ekonomi yang kian mencabar dalam jangka panjang.
No comments:
Post a Comment