Wednesday, November 24, 2010

Strukturkan Semula Rebat Tunai

Strukturkan semula rebat tunai

MOHD. HAFEEZ MOHD. NIZAM
Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor

SYOR yang dikemukan seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kelmarin mengenai kewajaran meningkatkan nilai bantuan rebat tunai kenderaan ini adalah langkah bijak dalam meringankan beban rakyat.
Langkah ini juga dilihat lebih praktikal dan efisyen kerana ia sememangnya sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan rakyat dengan kerajaan sanggup berkorban sebanyak RM5 billion setahun melalui pemberian rebat.

Apa yang ingin saya kongsikan ialah bentuk dan corak penggagihan rebat yang barangkali mungkin boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Pemberian RM625 kepada pemilik kereta di bawah isian kebuk 2000cc dan RM125 kepada pemilik motosikal dengan isian kebuk bawah 250cc ini hanya mengambil kira kuasa enjin kenderaan sahaja sedangkan banyak pembolehubah lain yang relevan perlu dinilai dalam mekanisme penyaluran rebat ini.

Dalam isu ini juga golongan minoriti penguna petrol juga dilihat terpinggir daripada menerima rebat tunai ini dan mereka terpaksa membayar petrol dengan harga tinggi. Peniaga pasar malam yang menggunakan generator, pemotong rumput dan isi rumah yang masih mengunakan generator sebagai sumber tenaga alternatif menerima kesan yang agak besar.

Pemberian rebat terhadap golongan ini juga dilihat perlu memandangkan mereka juga secara langsung menerima kesan kenaikan harga minyak tempoh hari.

Berkaitan dengan rebat tunai ini, pembolehubah pendapatan isi rumah, kadar keperluan penggunaan petrol purata, bilangan tanggungan perlu diambil kira berserta dengan jenis kenderaan yang digunakan. Cara ini akan mewujudkan kecekapan pemberian rebat yang lebih tinggi. Apa yang penting kini mekanisme perlaksanaannya dan aplikasi Mykad dilihat sebagai cara terbaik.

Asas isian kebuk kenderaan juga perlu dilihat secara mengkhusus dengan mewujudkan keterbezaan pemberian rebat. Umumnya golongan berpendapatan rendah sinonim dengan kenderaan berkuasa kecil dan mereka lebih memerlukan rebat sewajarnya. Maka, nilai bantuan perlu lebih diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Kerajaan mungkin boleh membezakan kapasiti enjin kereta bermula 660cc sehingga 1500cc dan 1501cc sehingga 2000cc. Nilai rebat bagi kedua-dua kumpulan kenderaan ini dibezakan dengan nilai rebat lebih menguntungkan pemilik kenderaan berkapasiti enjin rendah secara relatifnya.

Pemberian rebat juga boleh digunakan oleh kerajaan sebagai strategi melariskan jualan kenderaan nasional. Pemilik kereta nasional mungkin boleh menerima insentif tambahan memandangkan pengguna kereta nasional biasanya datang daripada golongan sederhana. Cara ini dilihat dapat merancakkan jualan kenderaan kereta tempatan.

Sistem pengurusan subsidi kini yang lebih menekankan aspek kecekapan penggunaan adalah amat bersesuaian dalam usaha negara mencapai kelestarian penggunaan sumber. Sebagai pengguna kita harus bijak merancang penggunaan dan agihan bantuan kerajaan perlu lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment