Wednesday, November 24, 2010

Selamat kembali Tun Mahathir

Nama Penulis: Mohd Hafeez Mohd Nizam

Disiarkan Oleh Utusan Malaysia pada 11 Sept 2008

Langkah yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan mendekati bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat untuk menyertai semula UMNO merupakan satu langkah bijak ke arah memperkasakan UMNO umumnya dan menambah baik perpaduan orang Melayu.

Kemasukan semula Dr. Mahathir dalam UMNO perlu dilihat dalam konteks di mana beliau mampu membantu melancarkan lagi usaha UMNO membuat pembaharuan dengan nafas baru yang selari dengan tuntutan politik semasa.

Pengalaman Dr. Mahathir sebagai seorang negarawan dan pejuang bangsa tidak ternilai jitunya dengan pengabdian beliau memperjuangkan nasib bangsa dan menjadi arkitek utama permodenan Malaysia satu ketika dahulu.

Legasi Dr. Mahathir adalah jelas dalam memastikan pembangunan negara selari dengan tuntutan perpaduan dan melahirkan golongan masyarakat yang progresif.

Dengan pengalaman sebagai seorang negarawan yang menjawat jawatan perdana menteri selama 22 tahun, seluruh rakyat Malaysia telah menyaksikan Tun Dr. Mahathir begitu mahir dan cekap mentadbir negara.

Lihat saja aspirasi beliau melalui Wawasan 2020 yang jelas menunjukkan Dr. Mahathir seorang negarawan yang berjaya menyediakan pelan jangka panjang bagi pertumbuhan ekonomi, sosial dan masyarakat berserta kerangka sosial dalam memartabatkan rakyat dan negara Malaysia.

Kebanyakan dasar ekonomi dan pentadbiran Malaysia diperkenalkan oleh Dr. Mahathir ketika era pemerintahannya. Kemasukan semula Dr. Mahathir ke dalam UMNO dilihat mampu menjadi penasihat atau sumber rujukan bagi pemerintahan sekarang dan akan datang.

Kemasukan semula Dr. Mahathir pasti akan menjadi buah mulut segelintir ahli politik terutamanya pembangkang dalam menafikan hak UMNO menerima semula Tun dan kewajaran UMNO menerimanya semula.

Dalam membahaskan hal ini, hujah asas bagi Dr. Mahathir menyertai UMNO perlu dilihat dalam konteks memperkasakan UMNO dan mewujudkan kestabilan dalam parti berserta sebagai ejen perpaduan pemimpin Melayu masa kini.

Pengalaman Tun dilihat amat berharga dan mampu sedikit sebanyak menambah baik perjalanan parti UMNO.

Kemasukan semula Dr. Mahathir ke dalam UMNO menunjukkan beliau seorang pejuang bangsa dan agama sejati dalam merealisasikan impian dan menjadi ikon kepada bangsa melayu era moden kini.

Suara sumbang pembangkang yang akan mengkritik tindakan Dr. Mahathir menyertai semula UMNO tidak ubah seperti seorang yang penakut kerana pengalaman beliau mampu membuatkan kedudukan mereka tercabar dalam konteks hujah retorik yang mereka perjuangkan selama ini.

Sebagai ahli UMNO khususnya dan ahli komponen Barisan Nasional, kemasukan semula Dr. Mahathir diharap mampu menambah baik kualiti perjalanan parti masing-masing melalui pengaruh Tun dalam melontarkan kritikan dan hujah membina.

Anggaplah Tun. Dr Mahathir sebagai seorang bekas "Arkitek Politik dan Permodenan Malaysia" yang banyak pengalaman dan jasa baktinya.

Apa yang penting dilihat mampu dijana setelah kemasukan Tun Dr. Mahathir kelak ialah sebagai ejen perpaduan di kalangan ahli politik terutamanya perpaduan dalam UMNO itu sendiri.

Badai 8 Mac 2008 telah membuatkan ahli UMNO dan pemimpin UMNO berada dalam fasa krisis keyakinan. Diharap pengaruh dan pengalaman Dr. Mahathir mampu membawa perpaduan kepada orang Melayu khususnya dan masyarakat majmuk Malaysia umumnya ke tahap yang lebih baik.

Sebagai seorang anak muda dan rakyat Malaysia, saya menyokong penuh kemasukan semula Dr. Mahathir dalam UMNO demi kebajikan UMNO dan manfaat limpahan ke seluruh lapisan rakyat Malaysia. Pandangan saya pastinya senada dengan kesemua ahli UMNO yang lain. Selamat Berjuang Tun Dr. Mahathir Mohamad.

MOHD. HAFEEZ MOHD. NIZAM

Bandar Sri Permaisuri Kuala Lumpur

Sumber : Utusan Malaysia (11/9/2008)

No comments:

Post a Comment