Monday, November 29, 2010

Pertemuan UMNO-Pas langkah bijak

Tulisan ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 16 July 2008

Nama Penulis: Mohd Hafeez Nizam
Bandar Seri Permaisuri

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

CADANGAN mempertemukan dua parti politik yang rata-rata dianggotai oleh orang Melayu dan Islam adalah satu langkah bijak dalam memperkasakan rakyat. Kesediaan kedua-dua presiden parti ke arah mengadakan perbincangan ini akan membawa kepada kebaikan semua pihak.

Perbezaan fahaman politik seharusnya diketepikan dalam usaha kita mencapai muafakat demi kebajikan rakyat. Medan pertemuan sedemikian lebih relevan dalam mewujudkan persefahaman saudara sesama Islam.
Perbincangan terbuka sedemikian akan meningkatkan persefahaman sesama orang Melayu biarpun berbeza fahaman politik. Isu berbangkit yang diketengahkan Pas selama ini perlu dirungkai melalui pertemuan ini. Inilah medan bagi Pas menyuarakan pandangan mereka dan bertindak sebagai ejen pembela rakyat bersama kerajaan.


Langkah sedemikian juga dapat memantapkan kualiti perbincangan dengan peranan Pas akan lebih bermakna dalam pertemuan ini. Era politik berasaskan cemuhan dan mencari kesalahan pihak kerajaan perlu diubah. Pendekatan berasaskan pandangan konstruktif dan idealis perlu dimajukan.

Hubungan UMNO-Pas selama ini dicemari dengan emosi yang saling benci-membenci dan lebih bermatlamatkan kepada kepentingan politik. Perjumpaan ini diharap akan lebih membuka ruang meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperjuangkan isu yang berkaitan orang Melayu dan Islam serta rakyat seluruhnya.

Pas perlu bersifat lebih terbuka dalam berbincang berkaitan isu perpaduan. Bersifat rasional dan belajar berbincang ke arah kemajuan rakyat. Berkaitan kebajikan rakyat, cita-cita politik berasaskan pelan Pakatan Rakyat perlu diketepikan bagi memberi ruang percambahan idea bersama UMNO.
Saya yakin Pas tidak sanggup menggadaikan perpaduan orang Melayu semata-mata memenuhi tuntutan cita-cita Pakatan Rakyat.

Di pihak UMNO pula, perlulah memberi ruang secukupnya bagi Pas melontarkan hujah rasional mereka. Pihak UMNO selaku kerajaan perlu menjelaskan situasi sebenar yang dihadapi negara bagi merungkai kecelaruan persepsi pembangkang berkaitan pelbagai isu termasuk kenaikan harga minyak yang melanda seluruh dunia.

Perbalahan politik antara kedua-dua parti selama ini tidak menguntungkan rakyat dan ia hanya membawa kepada dosa dan pembaziran masa. Perbincangan adalah medan terbaik memperkasakan perpaduan sesama rakyat.

Diharap pertemuan ini dapat direalisasikan agar rakyat mendapat faedah limpahan daripadanya. Apa yang penting persefahaman dan kata putus yang konstruktif yang mampu membawa masyarakat Malaysia umumnya dan Melayu khususnya ke tahap yang lebih baik kebajikannya. Tidak timbul pihak yang menang atau kalah dalam isu ini.

Jika kebajikan rakyat dan perpaduan rakyat ditingkatkan, kedua-dua pihak dianggap sebagai pemenang.

No comments:

Post a Comment