Wednesday, November 24, 2010
Dilema pelan perniagaan ala jutawan
Biarpun kini dilihat kurang kedengaran namun saya percaya skim ini masih bergiat namun dalam skala kecil dan lebih berhati-hati dengan menggunakan modus operandi yang sedikit unik.
Pada pengamatan saya, pengusaha skim tersebut memfokuskan kumpulan sasar tertentu terutamanya suri rumah, golongan berpendapatan sederhana rendah, peniaga kecil-kecilan, pelajar universiti dan golongan yang terdesak serta tiada kesabaran ingin menjadi jutawan segera.
Biarpun kita kini menghadapi peningkatan kos sara hidup, namun, harus diingat sebagai seorang manusia lebih-lebih lagi orang Islam, isu penting dalam bermuamalah mengikut lunas Islam tidak harus diketepikan.
Dalam memenuhi keperluan dan kehendak, pengguna seharusnya berkelakuan rasional dalam membuat pertimbangan melibatkan diri dalam sesuatu usaha modal pelaburan. Dalam hal ini, lebih jelas semua pelaburan yang dibuat mestilah realistik dan bersesuaian dengan hukum ekonomi yang waras.
Lebih penting lagi perlulah diutamakan aspek pendapatan yang halal dengan menjauhi segala unsur pelaburan yang berbentuk gharar (ketidakpastian), syubahah dan maisir (unsur judi).
Apa yang dapat dilihat, penganjur skim berbentuk piramid kini telah bijak memanipulasi strategi bagi membuatkan skim mereka 'halal' dari hukum syarak dengan memasukkan unsur barang jualan sebagai asas sesebuah organisasi piramid.
Seseorang up-line perlu mencari down- line bagi membolehkan mereka mendapat bonus atau pulangan seperti pangkat dalam organisasi dan percutian yang hebat.
Jika dilihat dalam senario ini, adakah wajar seseorang up-line menerima begitu banyak habuan sedangkan usaha tersebut hanya sekadar bantuan motivasi kepada ahli dan pihak down-line yang berhempas-pulas mencari ahli baru?
Dalam isu ini wajarlah bertanya kepada bijak pandai agama dalam menentukan kesahihan skim menurut perspektif Islam.
Apa yang dikhuatiri dalam hal ini ialah berlakunya penindasan dan kezaliman tidak nyata kepada ahli bawahan yang rata-rata begitu mengharap mengikuti idola mereka iaitu up-line.
Secara umumnya hal ini jelas menunjukkan unsur piramid tetapi unsur tersebut dipasarkan bersama dengan produk.
Maka sebagai pengguna wajarlah kita mempertimbangkan asas rasional sesebuah pelan perniagaan yang dijanjikan.
Jangan kita terlalu mengharapkan pulangan berganda dengan usaha yang kita tidak pasti ia mampu meningkatkan kebajikan semua ahli dalam sesebuah pelan pemasaran dan perniagaan produk pelaburan tersebut.
Ikon bagi skim pelaburan ini biasanya mudah dikenal pasti dan biasanya dikenali dengan kereta mewah hasil usaha mereka, pakej percutian luar negara dan rumah banglo yang tersergam indah untuk tatapan ramai.
Dalam hal ini, kita berbangga kerana ramai daripada mereka merupakan usahawan bumiputera dan kebanyakannya Islam. Namun, cara hidup mereka yang berubah ini dengan bersikap berlebih-lebih dengan material dikhuatiri akan membuatkan mereka lupa siapa yang membantu mereka dalam mengecapi kejayaan tersebut kalau bukan down-line mereka.
Mungkin sikap boros tersebut boleh dijimatkan dalam membantu lebih banyak lagi insan yang lebih memerlukan bantuan sewajarnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini.
Kejayaan bukan sahaja diukur pada kemewahan tetapi kepada berapa tinggi semangat kita membantu usahawan lain.
Sebagai pengguna bijak dan pelabur yang berwawasan, gunakan saluran yang benar bagi memastikan pelan yang diceburi menguntungkan semua pihak tanpa ada pengumpulan kekayaan oleh segelintir pihak. Hidup perlu bantu membantu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment