Wednesday, November 24, 2010

Sokong Sejarah subjek wajib

Sokong Sejarah subjek wajib

Nama Penulis: Mohd Hafeez Mohd Nizam

Tulisan ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 15 Oct 2008

CADANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib bagi pelajar sekolah rendah adalah relevan dan tepat pada waktunya. Dengan perlaksanaan dasar ini, ia akan membawa kebaikan kepada pembangunan modal insan negara.

Subjek Sejarah merupakan identiti kepada pembangunan sesebuah negara bangsa yang pastinya amat penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan yang berterusan.

Kenyataan 'orang yang tidak menghayati sejarah akan melakukan kesalahan yang sama berulang kali' merupakan ungkapan yang jelas menunjukkan kepentingan subjek Sejarah kepada pembangunan pelajar yang cemerlang dari aspek penilaian akademik dan sahsiah dirinya.

Dengan Sejarah menjadi subjek wajib di peringkat sekolah rendah, ia mampu menjadi permulaan bagi pelajar belajar menghayati erti sebenar kehidupan yang kita jalani kini. Pendedahan awal yang diberikan akan mampu membuatkan pelajar menghargai erti asas dalam kehidupan terutamanya dalam aspek perpaduan, kenegaraan dan cintakan negara.

Dengan masyarakat yang berbilang kaum, pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan dan ditambah dengan kewujudan sekolah wawasan, ia merupakan ejen perpaduan yang mampu memantapkan keharmonian negara. Dengan matlamat menjadikan pendidikan sebagai ejen perpaduan rakyat, pengenalan subjek Sejarah di sekolah rendah dilihat mampu menjadi mekanisme bagi memantapkan agenda perpaduan di kalangan rakyat majmuk di Malaysia terutamanya di peringkat anak kecil.

Agenda perpaduan ini dilihat lebih mujarab dengan pendedahan yang ditekankan di peringkat sekolah rendah.
Pengenalan subjek Sejarah di sekolah rendah juga dilihat mampu menjana murid yang tahu menilai erti cintakan negara dengan penghayatan sejarah dalam bentuk yang lebih formal iaitu melalui pendidikan di sekolah.

Era globalisasi yang melanda seluruh dunia telah membuatkan lapisan masyarakat terutamanya anak muda mudah terdedah dengan pembaharuan budaya berteraskan Barat. Perkara ini secara tidak langsung akan melunturkan semangat kenegaraan dan dikhuatiri akan menghakis penghayatan budaya sebenar sesebuah negara dan bangsa.

Dengan adanya pendedahan awal yang bercorak kebudayaan dan kenegaraan dalam subjek Sejarah, ia mampu menjadi pelindung dan penapis dalam membangunkan anak bangsa di Malaysia.
Dengan cara ini agenda globalisasi sebenar dalam jangka panjang akan dapat kita capai dengan lebih cemerlang dengan beracukan budaya Malaysia.

Diterap
Aspek penghargaan perpaduan dan menghormati budaya bangsa lain akan berjaya diterap dalam minda pelajar melalui pendidikan sejarah di sekolah rendah.

Subjek Sejarah yang menekankan pengorbanan dan perjuangan orang lama akan membuatkan anak muda sedar bertapa besarnya pengorbanan mereka untuk membawa sesebuah negara sehingga ke tahap ini.
Dengan kesedaran yang mula dipupuk di bangku sekolah, ia akan mampu melahirkan pelajar yang menghargai perpaduan dan toleransi antara kaum.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun secara progresif dengan rakyat berbilang kaum, pemahaman sejarah yang mendalam adalah amat penting dalam mewujudkan kesefahaman dan perpaduan.

Dalam usaha menerapkan sejarah sebagai subjek wajib sekolah rendah, Kementerian Pelajaran perlu merangka kurikulum yang mantap dengan menekankan aspek pembelajaran secara komprehensif dengan aspek pendidikan dalam kelas, aplikasi dan aktiviti luar kelas diseimbangkan.

Sejarah boleh diajar dalam kelas dengan berteraskan peperiksaan (examination oriented) dan dalam masa yang sama aspek tambahan seperti kerja kursus dan lawatan sambil belajar dilihat relevan dalam menarik minat pelajar menghayati erti sebenar sejarah.

Aktiviti pembelajaran sejarah kepada anak murid juga mungkin boleh difokuskan dengan aspek penceritaan sejarah diterapkan dengan cara yang lebih menarik seperti melalui tayangan video dan aktiviti yang menyeronokkan, sesuai dengan usia pelajar sekolah rendah.

Sejarah merupakan identiti kepada agama, bangsa dan negara. Sejarah juga menunjukkan jatuh bangun sesebuah tamadun dan sejarah juga cermin pembangunan negara dan bangsa untuk masa hadapan.
Sewajarnya anak muda terutamanya di peringkat sekolah rendah dipenuhkan dengan ilmu yang bermanfaat ini untuk kesinambungan pembangunan agama, bangsa dan negara.

 

No comments:

Post a Comment