Disiarkan Oleh Utusan Malaysia pada 3 July 2008
Program Usahawan Siswa Lebih Praktikal
3 JULAI 2008 - UTUSAN MALAYSIA
ISU kebenaran membuka kafe francais di IPT perlu dilihat secara mendalam kerana ia akan melibatkan kesan kepada banyak pihak.
Idea pembukaan kafe francais dalam usaha membendung pelajar lepak di luar universiti dilihat tidak relevan. Dalam isu ini, peraturan universiti perlu dirombak semula bagi mengawal keluar-masuk pelajar dan bukannya mewujudkan kafe francais yang akan menggalakkan pelajar membazir.
Pelajar universiti biasanya keluar kampus untuk makan malam kerana beberapa faktor. Antaranya, harga makanan di warung lebih berpatutan dan biasanya pelajar mendapat diskaun.
Tambahan pula, peniaga luar menyediakan perkhidmatan Astro bagi pelajar menonton rancangan bola sepak. Hal ini merupakan faktor utama pelajar keluar dari kampus.
Cadangan pembukaan kafe francais perlu dilihat dari aspek manfaat limpahan yang bakal diterima. Usaha ini tidak melahirkan pelajar bersemangat keusahawanan sebaliknya akan melahirkan pelajar yang hanya tahu berbelanja.
Dalam usaha memperkasakan mahasiswa dan melahirkan usahawan terbilang, pihak universiti boleh memikirkan usaha yang lebih konstruktif dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing.
Program keusahawanan mungkin boleh diperbanyakkan lagi dengan mengambil kira penyertaan pelajar. Pelajar akan menerima bantuan dana daripada universiti untuk berniaga di lokasi tertentu dalam kampus seperti di pusat serbaguna di setiap kampus. Penglibatan pelajar adalah melalui kelab- kelab yang ada di universiti. Dengan cara ini, pelajar akan belajar cara memulakan perniagaan dan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka. Gejala lepak di luar kampus juga mungkin berkurangan.
Pihak universiti juga mungkin boleh melabur sedikit wang dalam membina pusat tayangan yang dilengkapi Astro bagi mengelakkan pelajar keluar kampus semata- mata ingin menonton perlawanan bola sepak. Pelajar akan lebih berdisiplin dan gejala tidak sihat serta pergaulan bebas di luar kampus mungkin dapat dielakkan.
Kemudahan WiFi yang digembar-gemburkan sebagai manfaat yang bakal diterima dilihat tidak dapat meningkatkan daya intelektual pelajar. Perkhidmatan Internet di kafe tersebut akan lebih menggalakkan pelajar menyertai ruangan sembang atas ta- lian dan mengakses laman web berasaskan jaringan persahabatan.
Perkhidmatan WiFi di perpustakaan dilihat lebih praktikal bagi pelajar mengakses bahan maklumat untuk pendidikan.
Usaha serampang dua mata perlu diterapkan dalam kes ini bagi memperkasa mahasiswa ke arah kejayaan yang lebih cemerlang. Kerjasama pihak universiti dan kerajaan dapat menambah baik mahasiswa dalam jangka panjang.
MOHD. HAFEEZ MOHD. NIZAM
UKM, Bangi
No comments:
Post a Comment