Perkukuh b. Inggeris dahulu
MOHD. HAFEEZ MOHD. NIZAM
Bandar Sri Permaisuri, Cheras
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
DASAR kerajaan memperkenalkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bermula pada tahun 2003 banyak menghasilkan pandangan yang membina dan menyokong, tidak kurang pula dengan mereka yang membangkang syor yang kini telah hampir enam tahun dilaksanakan.
Pada pandangan saya, polisi tersebut adalah langkah bijak dalam melahirkan daya kompetitif di kalangan pelajar yang seharusnya lebih kehadapan dalam menguasai bahasa Inggeris.
Namun apabila berhujah atas dasar semangat bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, timbul pula soal lain di mana kelihatan seolah-olah bahasa ibunda Tanah Melayu seperti tidak layak menjadi bahasa pengantara Sains dan Matematik. Biar apa pun yang dipersoalkan, langkah proaktif perlu diambil bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut.
Sebagai seorang guru, saya melihat pelajar mempunyai satu masalah asas dalam menguasai Sains dan Matematik. Minat pelajar yang kurang terhadap subjek-subjek tersebut membuatkan mereka mendapat gred yang rendah. Hal ini didorong oleh sikap pelajar itu sendiri umumnya.
Apabila Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, hal ini merupakan satu 'malapetaka' kepada pelajar yang lemah dalam subjek tersebut ditambah dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.
Dalam hal ini saya merasakan perkara asas dalam polisi pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris perlu diperhalusi. Apa yang penting dalam menjayakan hal ini ialah dengan melengkapkan pelajar dengan asas pengetahuan bahasa Inggeris yang jitu.
Kebanyakan pelajar terutamanya pelajar luar bandar dilihat kurang mahir dari aspek asas bahasa Inggeris iaitu makna sesuatu perkataan. Apabila perkara asas ini dikatakan lemah, hal ini akan mendorong pelajar lemah dalam menguasai subjek Sains dan Matematik kerana tidak mahir aspek nahu perkataan ditambah dengan kelemahan mereka dalam subjek tersebut.
Dalam meneliti kerangka dasar pendidikan negara yang kini diguna pakai, beberapa strategi dilihat mampu membantu pelajar mendapat gred yang baik dalam subjek Sains dan Matematik beserta bahasa Inggeris.
Pertamanya, mata pelajaran Sains dan Matematik perlulah dijadikan budaya dalam kehidupan seharian dengan cara menyemai minat mencintai mata pelajaran tersebut. Skop ruang lingkup pelajar perlu diperluas dengan cara mempromosi bidang sains dan matematik dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh pelajar tingkatan empat dan lima, hanya pelajar dari jurusan sains meminati subjek tersebut dan pelajar golongan aliran sastera dilihat kurang berminat.
Hal ini kerana peluang aplikasi seperti eksperimen makmal dan praktikal hanya menjurus kepada pelajar aliran sains dengan peluang yang sedikit diberikan kepada pelajar aliran sastera. Hal ini membuatkan pelajar aliran sastera berasa Sains dan Matematik bukan subjek yang menyeronokkan untuk dikuasai.
Hal ini jika diteruskan akan membuatkan jurang Sains dan Matematik dan makin melebar antara golongan pelajar aliran sains dengan sastera. Jika dibiarkan, hal ini akan merugikan pelajar sastera umumnya. Ketidakadilan pengetahuan berlaku di mana hak mempelajari sains dan matematik untuk kehidupan bukan terhad untuk pelajar aliran sains semata-mata.
Keduanya, subjek English in Science and Technology (EST) diwujudkan bagi menyokong pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Namun, subjek ini hanya untuk pelajar aliran sains. Dasar ini sekali lagi merugikan pelajar aliran Sastera kerana mereka sewajarnya mempelajari subjek ini kerana keperluan mereka dilihat lebih memerlukan bagi meningkatkan pemahaman dan penguasaan dalam istilah sains.
Pelajar aliran sains semestinya mahir dalam subjek Sains dan Matematik dan atas dasar itu mereka terhimpun dalam bidang sains, maka fokus pemerkasaan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris perlu diberi pemberat yang besar kepada pelajar aliran sastera.
Dalam memperkasakan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, saya merasakan penguasaan asas dalam bahasa pengantar iaitu bahasa Inggeris perlu dijadikan agenda yang utama bagi melahirkan sarjana sains dan matematik yang hebat untuk negara.
No comments:
Post a Comment