Tulisan Ini Telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 5 Aug 2008
Mohd Hafeez Nizam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Proton baru-baru ini dengan jayanya telah mengeluarkan kereta yang ke-3 juta. Hal ini amat membanggakan rakyat Malaysia kerana memiliki sebuah syarikat yang mampu mengeluarkan kereta untuk keperluan domestik dan antarabangsa.
Perkembangan Proton dapat dilihat melalui evolusi modelnya yang hingga kini mampu menarik perhatian pembeli. Bermula dengan model Saga sehinggalah lahir Saga baru, Proton semakin matang penciptaannya.
Biarpun model seperti Waja, Pesona dan Saga BLM kini diibaratkan peneraju pasaran Proton, usaha ke arah mewujudkan nilai sentimental perlu ada dalam pengeluaran Proton terutamanya bagi model yang lama. Falsafah tidak wujud model baru jika tiada model lama perlu dijadikan pegangan.
Apa yang ingin saya kongsikan mungkin boleh dilaksanakan oleh Proton dalam mewujudkan keteguhan jenama, mencetuskan memori dan menghasilkan sesuatu yang unik dalam industri automotif negara.
Model Proton Saga asal iaitu Orion, Magma, Megavalve dan Knight merupakan asas dan ramuan ajaib yang telah membawa Proton sehingga hari ini.
Saya merasakan adalah wajar Proton mengeluarkan semula model-medel tersebut melalui pakej tambahan nilai. Tambahan nilai di sini membawa erti evolusi dan nafas baru terhadap model tersebut dengan mengekalkan bentuk asalnya.
Tambah nilai tersebut boleh dilakukan terhadap spesifikasi dan aksesori model tersebut yang mengikut trend semasa seperti navigasi GPRS, NGV, reka bentuk yang lebih sporty dan lebih mantap penampilannya.
Langkah ini bagi mewujudkan nilai sentimental terhadap model tersebut dan dalam menjayakan usaha ini, model-model tersebut perlulah dijadikan dalam pakej Model Terhad dan Model Istimewa. Proton Saga lama ini merupakan aset sejarah serta monumen bidang automotif negara.
Sekiranya ia dilaksanakan, generasi muda yang tidak berkesempatan memiliki dan merasai 'budaya Saga' dapat menikmatinya semula.
Sememangnya versi Saga Aeroback yang dilancarkan Proton sebelum ini diberikan nafas baru, namun ia tidak berlaku dalam segmen sedan dan kini adalah masa yang sesuai dalam mencetuskan imej Saga sebenar dengan sentuhan memorinya.
No comments:
Post a Comment